BLHW1732: Sosiologi : Gejala Sosial Di Malaysia : REMP-IT

Dapatkan Maklumat Disini.......

04 March, 2009

5,000 polis dikerah perangi mat rempit, Oleh Mohd Azis Ngah


KUALA LUMPUR: Polis Trafik mengarahkan 5,000 pegawai dan anggota menjalankan operasi besar-besaran menangani kegiatan lumba haram atau mat rempit bagi memastikan mereka tidak menggugat ketenteraman awam menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07).

Operasi besar-besaran secara bersepadu itu turut membabitkan bantuan helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sehingga awal tahun depan.

Berikutan itu, semua Ketua Polis Negeri dan Daerah sudah diarah meningkatkan operasi di kawasan masing-masing bermula awal bulan lalu sehingga tahun depan bagi memastikan mat rempit tidak bermaharajalela.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Nooryah Mohamed Anvar, berkata walaupun polis sudah banyak mengeluarkan sama dan tangkapan pada setiap operasi biasa, pihaknya percaya masih ramai mat rempit ‘berleluasa’.

“Kita perangi mereka habis-habisan. Jangan ingat kita mengalah dengan mat rempit. Tahun depan, kita ada program besar dan beribu-ribu pelancong akan datang ke sini.

“Polis tidak mahu kegiatan mereka (mat rempit) mengganggu ketenteraman awam, apatah lagi jika membabitkan pelancong asing kerana ia akan memberi imej buruk kepada negara,” katanya di sini semalam.

Dianggarkan 15 juta penunggang motosikal di seluruh negara dan sebahagian kecil daripadanya terbabit dengan lumba haram tetapi memberi kesan dan imej besar kepada penunggang motosikal.

Berdasarkan rekod mat rempit yang berdaftar dengan pergerakan Putera Umno, ada 28 kumpulan bermotosikal membabitkan kira-kira 80,000 penunggang.

Nooryah berkata, dalam tempoh enam minggu sejak 3 November lalu, ada kira-kira 4,000 kesalahan dikenal pasti, termasuk 2,778 saman pelbagai kesalahan dan 116 tangkapan dilakukan di sekitar Lembah Klang.

Katanya, secara purata, jumlah itu hanya membabitkan nisbah 1:5 daripada jumlah kesalahan sebenar yang dilakukan penunggang motosikal.

“Sepanjang Ops Lumba Haram dalam tempoh itu, kita menahan 62 penunggang dan pembonceng motosikal kerana kesalahan dadah manakala 28 lagi ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam tempoh sama sehingga 17 Disember lalu, 26 lagi tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk memiliki senjata tajam.

Sementara itu dalam operasi terbaru mencegah kegiatan lumba haram di ibu negara awal pagi semalam, Polis Trafik Kuala Lumpur menahan lima mat rempit dan tujuh pemandu kereta kerana berlumba secara haram di ibu negara.

Operasi bermula sehingga 4 pagi itu dijalankan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Raja Laut dan Bulatan Pahang dan diketuai Timbalan Ketua Trafik Bandar raya, Deputi Superintendan Safien Mamat.

Safien berkata, dalam operasi selama empat jam itu, semua 12 yang ditahan berusia 16 hingga 25 tahun turut menjalani ujian air kencing tetapi disahkan negatif.

Sepanjang tahun ini, polis sudah menahan kira-kira 300 mat rempit di ibu negara.

0 comments:

Post a Comment

 

BLHW1732 : Sosiologi : Gejala Rempit di Malaysia Blak Magik is Designed by Nik Luqman for smashing magazine Bloggerized by Ipiet Blogger Templates © 2008